Sunday 9 April 2017

Fiqh Jinayat - Jenayah Rogol


PENDAHULUAN

Rogol dalam bahasa Arab disebut sebagai ightisab yang berasal dari perkataan ghasb yang beerti merampas atau mengambil sesuatu tanpa kerelaan. [1] Di dalam undang-undang Islam, para ulama tidak menggunakan istilah ini bagi membincangkan tentang masalah rogol bahkan mereka menggunakan istilah al-zina bi al-ikrah atau zina dengan cara paksaan. Para ulama mengkategorikan al-ikrah kepada 2 jenis iaitu yang pertama ikrah mulji’ iaitu ancaman yang melibatkan kebinasaan nyawa atau kecederaan anggota badan. Manakala yang kedua pula ialah ikrah ghayra mulji’ iaitu ancaman yang tidak melibatkan kebinasaan nyawa, kecederaan anggota badan atau kebinasaan semua harta.

            Tidak ada definisi yang khusus dan jelas diberikan oleh para ulama tentang rogol. Lantaran itu satu definisi perlu diwujudkan bagi memberi gambaran yang sebenar tentang jenayah ini. Oleh kerana rogol mempunyai banyak persamaan dengan zina, maka definisi-definisi zina akan digunakan bagi mengambil ciri-ciri penting yang mempunyai persamaan dengan rogol. [2]

Menurut mazhab Maliki, zina ditakrifkan sebagai :

“ Persetubuhan antara lelaki dengan perempuan yang berakal lagi baligh yang bukan miliknya dengan kerelaan kedua belah pihak”.[3]

Imam al-Syafi’I dan Imam Ahmad b. Hanbali pula mentakrifkan zina lebih kurang sama saperti pentakrifan yang dibuat oleh mazhab Maliki Cuma mereka menambah bahawa:

            “Persetubuhan sama ada melalui qubul dan dubur juga dianggap zina.”[4]

Manakala Abu Hanifah pula tidak mengira bahawa persetubuhan melalui qubul itu sebagai zina. Zina menurut takrifan al-Zayla’I ialah :

            “Persetubuhan yang tidak diharuskan dengan wanita yang hidup yang bukan milik atau yang bukan isterinya tanpa paksaan di dalam negara Islam”.[5]

Berdasarkan definisi-definisi yang diberikan di atas, definisi yang diberikan oleh al-Zayla’i dikira sempurna kerana ianya merangkumi segala aspek penting di dalam zina. Definisi tersebut juga menunjukkan satu faktor penting yang membezakan antara zina dan rogol iaitu “tanpa paksaan”.  Akan tetapi, terdapat juga makna lain yang boleh diambil berdasarkan definisi di atas iaitu persetubuhan melalui dubur. Makna ini juga penting bagi menyempurnakan takrifan zina.

Antara faktor kepentingan takrifan ini ialah yang pertama, hubungan yang dibenarkan apabila seseorang itu telah berkahwin akan tetapi hubungan melalui dubur adalah diharamkan. Suami isteri yang melakukan liwat boleh dihukum menurut undang-undang Islam.[6] Seterusnya yang kedua, hukuman yang dikenakan keatas pesalah liwat adalah lebih berat dari zina.[7] Hukuman bagi jenayah liwat adalah direjam sehingga mati tidak kira pesalah tersebut sudah berkahwin atau belum berkahwin.[8] Walaubagaimanapun, di dalam kes zina pula, mereka yang dikenakan hukuman rejam sehingga mati adalah bagi mereka yang sudah berkahwin sahaja, manakala bagi mereka yang belum berkahwin akan dikenakan hukuman rotan sebanyak seratus kali dan dibuang daerah selama setahun.[9]

Oleh yang demikian, setelah dilihat segala ciri-ciri yang penting dalam takrifan zina, maka dengan ini jenayah rogol bolehlah ditakrifkan sebagai “ hubungan jenis antara lelaki dengan perempuan yang bukan isterinya sama ada melalui kemaluan (qubul) atau dubur tanpa kerelaan perempuan tersebut”.

Hal ini dapat dilihat bahawa kedua-dua jenayah zina dan rogol ini tidak ada perbezaan yang ketara melainkan dalam satu perkara iaitu bagaimana jenayah tersebut dilakukan. Di dalam kes zina ,jenayah tersebut dilakukan dengan kerelaan keduadua belah pihak sama ada lelaki mahupun wanita, manakala di dalam kes rogol pula, jenayah ini menggunakan kekerasan.

Ciri-ciri Penting Di Dalam  Jenayah Rogol

Jenayah rogol ini sama juga seperti jenayah-jenayah lain di dalam Islam. Ia memerlukan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi sebelum apa-apa hukuman dijalankan. Daripada definisi yang diberikan untuk jenayah rogol, terdapat tiga elemen penting bagi mensabitkan sesuatu perbuatan itu sebagai rogol.

                                i.            Hubungan Seks

Hubungan seks bermaksud hubungan yang apabila berlakunya kemasukan (ilaj) zakar ke dalam faraj.[10] Apabila berlakunya “kemasukan” maka satu dari ciri rogol telah dilengkapi meskipun selaput dara wanita tersebut tidak pecah. Hal ini kerana bagi sesetengan wanita, selaput ini agak sukar ditembusi.[11] Dengan ini dapat dirumuskan bahawa sesuatu perbuatan itu tidak dikira sebagai rogol jika “kemasukan” itu tidak berlaku. Namun begitu seperti yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa jika hubungan seks berlaku melalui dubur, ia juga boleh dikira sebagai zina. Oleh itu, jika seseorang itu melakukan hubungan seks melalui dubur tanpa kerelaan wanita tersebut, ia juga dikira sebagai jenayah rogol.

                              ii.            Tiada Kerelaan Wanita

Perkara ini amat penting dalam membezakan antara jenayah zina dan rogol. Maksud tiada kerelaan ialah dengan keadaan wanita tersebut tidak mahu atau tidak rela disetubuhi lelaki tersebut. Ketidakrelaan wanita tersebut dapat dikenalpasti dan diketahui melalui reaksi mereka apabila diserang. Walaubagaimanapun, jika si mangsa itu tidak melawan kerana sebab-sebab tertentu seperti diberi arak dan dadah, maka lelaki itu tetap dikira sebagai perogol.[12]

Hubungan seks dengan gadis di bawah umur dengan kerelaannya tidak boleh dikira sebagai rogol kerana kanak-kanak itu telah memberikan kerelaannya meskipun tidak tahu akibat atau kesan daripada perbuatan tersebut. Akan tetapi disebabkan kanak-kanak tersebut masih kecik dan belum baligh, maka tiada hukuman yang akan dikenakan keatas mereka. Manakala bagi pesalah lelaki yang melakukan perbuatan tersebut pula akan dikenakan hukuman hadd kerana melakukan zina.[13]

Tiada kerelaan wanita ini dapat dilihat maksudnya iaitu merangkumi unsur paksaan (ikrah) kerana seperti yang diketahui paksaan ini hanya akan berlaku jika tiadanya unsur kerelaan. Justeru itu, jika seseorang wanita itu dipaksa untuk melakukan hubungan seks sama ada melalui ancaman senjata seperti pisau atau senjata api atau hanya melalui kekuatan fizikal, maka lelaki itu dikira sebagai perogol. Walaubagaimapun ianya perlu dipastikan bahawa paksaan itu terus wujud sehingga selesainya hubungan seks itu.[14]

                            iii.            Status Perkahwinan

Status perkahwinan juga adalah penting di dalam jenayah rogol. Ini adalah kerana seseorang itu hanya boleh dituduh dan didakwa melakukan jenayah rogol sekiranya yang dirogol itu bukan isterinya. Jika seorang suami memaksa isterinya untuk melakukan hubungan seks, perbuatan tersebut tidak boleh dikira sebagai rogol. Hal ini kerana suami mempunyai hak ke atas isterinya pada bila-bila masa yang dikehendakinya kecuali dalam tiga keadaan iaitu semasa haid, nifas dan ketika berpuasa di bulan Ramadhan.[15] Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“Apabila seorang suami mengajak isterinya untuk bersama, lalu isterinya enggan memenuhi kehendak suaminya lalu suaminya tidur di dalam keadaan yang marah, maka isterinya itu akan dilaknat oleh para malaikat sehingga ke pagi”.[16]

Pembuktian Dalam Jenayah Rogol Menurut Islam

Penyaksian : Diterima oleh semua ulama’ fiqh kerana terdapat ayat yang jelas seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud :

            “Dan para perempuan yang melakukan perbuatan keji di antara perempuan-perempuan kamu, hendaklah terhadap mereka ada empat orang saksi di antara kamu (yang menyaksikannya). Apabila mereka telah memberi kesaksian, maka kurunglah mereka (perempuan itu)dalam rumah sampai mereka menemui ajalnya, atausampai Allah memberi jalan (yang lain) kepadanya.

                                                                                                            (Surah an-Nisa’ : 15)[17]

            Berikutan dengan penyaksian di dalam pembuktian jenayah rogol ini juga, Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

            “Rasulullah S.A.W bersabda kepada Sa’ad bin Ubadah ketika ditanya satu persoalan, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan dengan seorang lelaki sedang berzina, bolehkah aku membunuhnya ataupun perlu membawa empat orang saksi?” Rasulullah menjawab, “Engkau tidak boleh membunuhnya sehinggalah engkau membawa empat orang saksi”

            Walaubagaimanapun, tidak semua lelaki diterima untuk menjadi saksi. Hal ini adalah untuk menjadi saksi sseseorang itu mestilah terdiri dalam kalangan orang muslim, adil, dan melihat sendiri perbuatan jenayah tersebut.[18]

Pengakuan : Perkara ini agak sukar kerana para pesalah agak sukar untuk membuat pengakuan diatas jenayah yang telah dilakukan. Mereka akan menafikan perbuatan mereka itu untuk mengelak dari dijatuhkan hukuman. Pengakuan dalam rogol ialah di mana penjenayah tersebut mengaku bahawa dia telah melakukan jenayah tersebut. Pengakuan itu mestilah datang daripada orang yang dipertangungjawabkan (mukallaf). Oleh itu, pengakuan kanak-kanak dan orang gila tidak diterima. Inilah pendapat Mazhab Syafie’ dan Mazhab Hanafi.

Qarinah (bukti) : Perkataan qarinah dari sudut bahasa berasal daripada kata kerja qaranah yang bermaksud kait (perkaitan), hubung (hubungan), gabung (gabungan), pertalian atau persahabatan. Manakala dalam bahasa perundangan qarinah boleh diertikan sebagai andaian atau anggapan. Dari sudut istilah pula qarinah merangkumi sebarang tanda yang dihasilkan melalui pertuturan atau percakapan serta sebarang tanda berdasarkan persekitaran atau suasana sekeliling.[19]

            Selain itu definisi qarinah diertikan dengan makna sesuatu tanda yang zahir yang berkait rapat dengan satu fakta tersembunyiyang padanya didasarkan sesuatu hujah[20]. Manakala takrifan terkini diertikan dengan sebarang tanda sama ada dari segi pertuturan atau persekitaran yang menunjukkan kewujudan sesuatu atau ketidakwujudan sesuatu.[21]

            Kebanyakan ulama’ masih bersetuju dengan pemakaian qarinah dalam kes yang melibatkan hukuman ta’zir. Qarinah dipakai juga dalam kes rogol, sekiranya rogol itu dikira sebagai kesalahan ta’zir. Hal ini dapat dilihat daripada kisah pada zaman Rasulullah S.A.W di mana terdapat satu kes pada zaman Rasulullah S.A.W., seorang lelaki telah menyerang seorang seorang wanita dengan niat untuk memeperkosanya. Wanita itu menjerit dan terus pengsan. Lelaki itu terus melarikan diri. Seorang lelaki lain mendengar jeritan wanita itu dan datang membantu dan cuba mengangkat wanita tersebut. Tidak lama kemudian dating sekumpulan orang turut mendengar jeritan wanita tadi. Mereka menyangka lelaki kedua itulah yang menyerang wanita tersebut, lalu lelaki itu dibawa kehadapan Rasuullah S.A.W. Apabila wanita itu sedar, dia turut memberi kesaksian bahawa lelaki itulah yang menyerangnya. Berdasarkan kesaksian wanita tersebut dan keterangan orang-orang yang menangkap lelaki kedua itu bahawa mereka mendapati tertuduh sedang merangkul (memeluk) mangsa tersebut. Rasulullah S.A.W mendapati lelaki itu bersalah dan menjatuhkan hukuman rejam. Akan tetapi lelaki pertama tadi tampil membuat pengakuan bersalah lantas Rasulullah S.A.W melepaskan lelaki yang kedua itu.[22]

Kesan Rogol Ke Atas Mangsa

Jenayah rogol ini memberi kesan yang amat buruk kepada kaum wanita yang menjadi mangsa. Hal ini kerana wanita yang dirogol akan mengalami gangguan fikiran yang amat serius. Mereka sentiasa tertekan, bimbang, hilang nafsu syahwat dan merasa tersisih daripada masyarakat. Ramai juga diantara magsa-magsa rogol yang lari dari rumah dan melibatkan diri dalam pelacuran untuk menyara hidup mereka. Tidak kurang juga yang mula berjinak-jinak dengan minuman keras serta dadah dan juga yang membunuh diri akibat tekanan perasaan yang ditanggung.

            Selain itu, bagi wanita yang mempunyai pegangan agama yang kuat, kesan dari tekanan ini dikira lebih hebat kerana akibat rogol mereka terasa telah kehilangan maruah serta kemuliaan diri. Perkara ini mungkin tidak begitu dirasai oleh mereka yang bebas bergaul atau yang telahpun melakukan hubungan seks di luar nikah. Rogol di dalam kes ini adalah kerana mereka tidak merelai atau tidak mahu melakukan hubungan seks dengan lelaki tertentu sedang mereka telahpun melakukan perkara tersebut dengan orang yang disukainya meskipun mereka belum pernah berkahwin.

            Di kebanyakan negara-negara Islam termasuk Malaysia, “dara” dikira sebagai lambang kesucian seorang wanita khususnya apabila mereka ingin mendirikan rumahtangga. Wanita yang kehilangan dara di anggap sudah tidak suci meskipun kadangkala selaput dara boleh hilang dengan sebab yang tertentu seperti kemalangan atau kerana terlalu aktif di dalam sukan dan sebagainya.

            Daripada kesan-kesan yang disebutkan di atas, jelaslah bahawa rogol adalah satu jenayah yang amat serius kepada mangsa dan dengan ini para perogol perlulah dihukum setimpal dengan jenayah yang dilakukan itu.[23]

Peruntukan Mengenai Kesalahan Rogol Dan Hukuman Terhadap Perogol

Kanun Keseksaan (Akta 574)

Kanun Keseksaan Malaysia memperuntukkan mengenai kesalahan rogol di bawah seksyen 375. Seksyen ini memperuntukkan keadaan-keadaan di mana sesuatu perbuatan itu dikatakan sebagai rogol. Peruntukan-peruntukan tersebut adalah seperti berikut :

i.                    Seksyen 375. Rogol.[24]

Seseorang lelaki adalah dikatakan melakukan rogol jika ia bertentangan dengan perempuan tersebut. Seterusnya, dengan tiadanya kerelaan perempuan tersebut. Selain itu, dengan kerelaan perempuan tersebut akan tetapi kerelaan perempuan itu didapati dengan mendatangkan kepadanya atau mana-mana atau orang lain ketakutan mati atau cedera.

      Tambahan lagi, dengan kerelaan perempuan sedangkan lelaki itu mengetahui bahawa ia bukan suaminya, dan kerelaan itu diberi kerana perempuan itu percaya lelaki itu ialah seorang lelaki yang menjadi atau yang ia percaya menjadi suaminya yang sah disisi undang-undang.

      Seterusnya, jika pada masa memberi kerelaan itu dia tidak boleh memahami jenis dan akibat mengenai apa yang dia lakukan itu. Dalam pada itu, apabila kerelaannya didapati dengan menggunakan kedudukannya yang berkuasa ke atas perempuan itu atau atas sebab hubungan professional atau lain-lain hubungan amanah dengannya. Akhir sekali dengan kerelaan perempuan tersebut atau tidak jika perempuan tersebut dibawah umur 16 tahun.

Peruntukan seksyen ini menjelaskan bahawa hanya lelaki boleh dituduh dan didakwa merogol perempuan. Jika seseorang lelaki mendakwa dirinya dirogol, ia tidak boleh mendakwa perempuan yang dikatakan merogolnya di bawah peruntukan ini. Hal ini kerana, peruntukan tersebut secara jelasnya menyebut hanya lelaki yang boleh tertuduh dan mangsa rogol pula adalah dari kalangan orang perempuan. Maka, secara tersiratnya, undang-undang di negara ini hanya mengiktiraf perbuatan rogol sebagai perbuatan yang dilakukan oleh seseorang lelaki ke atas wanita.

Perkataan bersetubuh di dalam peruntukan ini pula dihuraikan sebagai ‘kemasukan’ yang memadai bagi persetubuhan yang perlu bagi kesalahan rogol. Elemen ‘kemasukan’ dikatakan berlaku apabila mana-mana bahagian zakar pelaku berada di dalam mana-mana bahagian faraj magsa. Dalam hal ini, sejauh mana kemasukan itu berlaku bukanlah persoalannya. Akan tetapi, aspek paling utama untuk dibuktikan adalah sudah berlaku kemasukan pada mana-mana bahagian sulit perogol ke dalam bahagian sulit mangsa, meskipun kemasukan itu hanya sedikit dan tidak sampai merosakkan selaput dara.[25] Oleh itu, elemen kemasukan zakar ke dalam faraj adalah syarat paling penting di dalam setiap kes rogol. Sekiranya doctor tidak menemui kesan elemen tersebut semasa pemeriksaan dilakukan, ia boleh menyebabkan kes itu ditutup tanpa siasatan lanjut.

Selain itu, peruntukan ini juga tidak mengiktiraf kemasukan zakar ke dalam dubur atau mulut mangsa sebagai rogol. Sebaliknya, ia diklasifikasikan sebagai persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabi’i. Begitu juga apabila pelaku melakukan kemasukan itu dengan cara memasukkan benda-benda lain seperti jari, kayu, botol dan sebagainya ke dalam faraj mangsa, ia tidak dikira sebagai perbuatan rogol.[26] Sekiranya berlaku demikian, ia hanya dikategorikan sebagai perbuatan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah kepada seseorang dengan niat hendak mencabul kehormatan dan bukannya rogol.[27]

Sementara itu, perbuatan seseorang suami yang menyetubuhi isterinya yang sah di sisi undang-undang, walaupun di dalam keadaan-keadaan yang diperuntukkan sebelum ini, adalah dikecualikan dan tidak dianggap sebagai rogol. Pengecualian ini bermaksud walaupun persetubuhan itu tidak dikehendaki atau tanpa kerelaan isteri, si suami tidak boleh dituduh mahupun didakwa melakukan rogol ke atas isterinya.[28] Hal ini kerana undang-undang Malaysia tidak mengiktiraf rogol dalam perkahwinan. Tetapi, jika pasangan tersebut bercerai, dipisahkan secara undang-undang atau isteri masih di dalam tempoh iddah, si suami boleh didakwa melakukan rogol apabila berlaku persetubuhan secara paksaan terhadap isteri atau bekas isterinya itu.[29] Walaubagaimanapun, seseorang suami boleh didakwa jika menyebabkan kecederaan terhadap isterinya bagi tujuan melakukan persetubuhan.[30]

Bagi seksyen 375 (g), persetubuhan yang dilakukan dengan dengan perempuan di bawah umur 16 tahun, sama ada dengan atau tanpa persetujuan perempuan itu dianggap sebagai rogol. Dalam istilah undang-undang, ia dikenali sebagai rogol statuori. Rogol statuori ini merupakan satu jenayah di mana pelaku melakukan ‘kemasukan seksual’ terhadap perempuan di bawah umur yang tidak memungkinkan ia memberi kerelaan. Walaupun tertuduh berjaya membuktikan perbuatan itu dilakukan atas kerelaan mangsa sendiri, namun mahkamah akan tetap mensabitkan tertuduh atas tuduhan merogol. Hal ini kerana, kerelaan yang diberi oleh mangsa yang berumur kurang dari usia 16 tahun adalah tidak diambil kira kerana usia tersebut dianggap oleh undang-undang sebagai tidak memungkinkan mangsa memberi kerelaan. Ini kerana negara mempunyai kepentingan dan tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak. Oleh itu, mana-mana lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuam dibawah umur 16 tahun akan dikenakan tanggungan keras iaitu dituduh atau didakwa melakukan rogol.[31]

ii.                  Seksyen 376. Seksaan bagi rogol

Tertakluk kepada subseksyen (2), (3) dan (4), barangsiapa melakukan rogol hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai dua puluh tahun, dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.

Selain itu, barangsiapa yang melakukan rogol ke atas seorang perempuan dalam keadaan pada masa, atau segera sebelum atau selepas melakukan kesalahan itu, meyebabkankecederaan kepada perempuan itu atau mana-mana orang lain. Seterusnya meletakkannya dalam ketakutan kematian atau kecederaan kepada perempuan itu atau orang lain serta kesalahan itu telah dilakukan dalam kehadiran atau dihadapan orang lain. Disamping itu, dalam keadaan dengan tiada kerelaan perempuan itu, apabila perempuan itu di bawah umur enam belas tahun sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak apabila perempuan itu di bawah umur dua belas tahun. Kemudian, dalam keadaan dengan kerelaannya apabila kebenaran diperolehi dengan menggunakan kedudukan berkuasanya terhadap perempuan itu atau kerana hubungan professional atau hubungan amanah lain yang berhubung dengannya atau pada masa kesalahan itu perempuan itu mengandung.

Seterusnya barangsiapa melakukan rogol ke atas seseorang perempuan di mana hubungan perempuan itu dengannya adalah tidak dibenarkan dibawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan, untuk berkahwin dengan perempuan itu, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lapan tahun dan tidak lebih dari tiga puluh tahun, dan boleh juga dikenakan sebat tidak kurang dari sepulub sebatan.

Akhir sekali barangsiapa semasa melakukan atau percubaan melakukan rogol menyebabkan kematian perempuan yang dirogol itu atau yang ke atasnya percubaan itu dilakukan hendaklah dihukum mati atau penjara selama tempoh tidak kurang dari lima belas tahun dan tidak lebih dari tiga puluh tahun, dan boleh disebat tidak kurang dari sepuluh sebatan.

            Bagi subseksyen (1). Jika kesalahan rogol itu dilakukan sebagaimana keadaan-keadaan yang diperuntukkan di bawah seksyen 375 sebelum ini (kecuali yang tertakluk di bawah subseksyen (2), (3) dan (4) seksyen ini), maka hukuaman terhadap perogol adalh penjara sehingga maksimum dua puluh tahun dan sebat. Ini berlaku apabila perogol menyebabkan kecederaan atau ketakutan kematian kepada mangsa mahupun orang lain sama ada sebelum, semasa tau selepas melakukan jenayah tersebut.[32] Hukuman yang sama juga akan dikenakan jika kesalahan itu dilakukan di hadapan orang lain, dengan atau tanpa kerelaan mangsa yang berumur di bawah dua belas tahun, tanpa kerelaan mangsa di bawah enam belas tahun ataupun mangsa sedang mengandung semasa jenayah itu dilakukan. Selain itu, hukuman di bawah seksyen yang sama juga akan dikenakan walaupun perbuatan tersebut mendapat kerelaan mangsa di bawah subseksyen (2)(f). Contohnya kerelaan tersebut diberi atas sebab-sebab hubungan majikan dengan pekerja, doctor, dukun atau bomoh dengan pesakit, penjaga dengan kanak-kanak perempuan atau gadis yang dijaga dan lain-lain.

            Seterusnya berdasarkan peruntukan seksyen-seksyen 375 dan 376, kedua-duanya menyebut tentang kesalahan rogol dan hukumannya di atas kesalahan yang dilakukan ke atas mangsa di bawah umur. Pertama, magsa berumur di bawah enam belas tahun dan kedua , berumur di bawah dua belas tahun. Kedua-duanya adalah melibatkan kerelaan dan ketidakrelaan mangsa di dalam kes-kes rogol. Apa yang dapat difahami menerusi kedua-dua peruntukan ini ialah, jika pada masa kesalahan itu dilakukan, mangsa yang berumur enam belas tahun berkenaan memberi kerelaan terhadap perbuatan tersebut, maka perogol akan dikenakan hukuman di bawah seksyen 376 (1). Sebaliknya, jika perbuatan tersebut dilakukan tanpa kerelaan mangsa, maka hukumannya adalh tertakluk di bawah subseksyen (2) seksyen yang sama. Namun begitu, jika mangsa yang dirogol itu berumur di bawah dua belas tahun, sama ada dengan kerelaan mangsa ataupun tidak, perogol itu tetap dikenakan hukuman yang sama di bawah seksyen 376 (2). Umur mangsa yang di bawah umur ini perlu diambil kira kerana ia melibatkan perbezaan hukuman maksimumnya selama sepuluh tahun.

            Subseksyen (3) pula memperuntukkan hukuman bagi kesalahan yang dilakukan ke atas perempuan yang tidak dibolehkan berkahwin dengan si perogol. Larangan ini sama ada oleh undang-undang, agama atau adat kebiasaan. Misalnya perogol itu mempunyai hubungan darah dengan mangsa seperti anak tiri, adik beradik ipar, ibu dan nenek mertua, anak saudara ipar dan emak saudara ipar. Kesalahan ini dahulunya dikenali sebagai kesalahan sumbang mahram yang dilakukan oleh pelaku secara paksaan ke atas mangsa yang dilarang berkahwin dengannya. Hukuman maksimum yang ditetapkan untuk subseksyen ini ialah tiga puluh tahun dan sepuluh sebatan.

            Sementara itu, subseksyen (4) pula memperuntukkan hukuman terhadap sesuatu kesalahan rogol yang membawa kepada kematian mangsa.[33] Ia menjelaskan bahawa sama ada kematian mangsa itu disebabkan oleh perbuatan rogol yang sebenar ataupun semasa percubaan melakukannya, maka pelaku itu akan dikenakan hukuman sama.[34] Hukuman bagi peruntukan ini ialah pelaku itu dikenakan hukuman mati atau penjara minimum lima belas tahun dan maksimumnya tiga puluh tahun. Pelaku itu juga boleh dikenakan sebat yang mana jumlah minimum sebatan itu adalah sepuluh kali.

            Sehubungan dengan peruntukan Akta 574 ini, dapatlah difahami bahawa sebelum sesuatu mahkamah menjatuhkan sebarang hukuman ke atas perogol, beberapa faktor perlu diambil kira. Secara kebiasaannya terdiri daripada faktor-faktor berikut ;[35]

a.       Besar atau kecil kekejaman jenayah itu, tindakan perogol semasa merogol dan ketidakmampuan mangsa berkenaan melawan

b.      Umur perogol dan mangsa. Umur yang dikira ialah pada masa kesalahan itu dilakukan, dan bukannya pada masa perbicaraan

c.       Jika pihak lelaki telah membayar sejumlah pampasan kepada pihak mangsa, hal ini tidak boleh diambil kira dalam menghukum perogol

d.      Kesempatan tidak patut yang diambil oleh perogol terhadap magsa yang berada di bawah pengaruhnya

e.       Sama ada perbuatan rogol tersebut dilakukan seorang diri atau beramai-ramai atau di hadapan orang lain

f.       Hubungan perogol dengan mangsa

g.      Kecederaan atau jenis kecederaan kepada mangsa di mana kesan tersebut akan dikaji oleh mahkamah terlebih dahulu

h.      Perbuatan atau percubaan perbuatan tersebut telah mengakibatkan kematian mangsa

Bentuk-Bentuk Pampasan Kepada Mangsa Rogol Menurut Islam

Peruntukan umum bagi pemberian pampasan di dalam Islam telah disebut oleh Allah S.W.T menerusi sepotong ayat dari Surah an-Nisa’ yang bermaksud :

            “ Dan tidak layak bagi seorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain kecuali kerana tersalah (tidak sengaja), dan barngsiapa membunuh seorang mukmin kerana tersalah hendaklah ia memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar diyat yang diserahkan kepada keluarga si mangsa itu kecuali mereka (keluarga magsa) bersedekah.”

                                                                                                            (Surah an-Nisa’ : 92)

Melalui ayat diatas dapatlah difahami bahawa pelaku jenayah perlu membayar sejumlah pampasan yang dikenali sebagai diyat. Diyat yang difahami secar umum sebagai pembayaran darah dengan wang mempunyai dua kapasiti, iaitu sebagai remedi asal dan juga remedi alternatif. Remedi asal ialah, peruntukkan diyat sebagai hukuman bagi kesalahan yang tidak disengajakan oleh pelaku. Sementara bagi pesalah disengajakan pula, diyat sebagai remedi alternatif diperuntukkan bagi kesalahan-kesalahan yang mendatangkan kecederaan-kecederaan fizikal atau pembunuhan yang membolehkan hukuman qisas dilaksanakan dalam konteks remedi asal. Tetapi di atas sebab-sebab tertentu, ia tidak memungkinkan hukuman qisas dilaksanakan, maka diyat akan diberikan kepada mangsa dan kapasitinya sebagai hukuman gentian kepada qisas. Contohnya ketiadaan persamaan anggota badan antara pelaku dan mangsa di samping ketiadaan amalan atau pelaksanaan qisas di sesebuah negara berkenaan. Kadar bagi satu diyat penuh bagi tujuan ini menyamai kadar diyat penuh bagi remedi asal, sama ada seratus ekor unta, seribu dinar atau dua belas ribu dirham.[36]

            Dalam membicarakan pampasan mengenai rogol, konsep jirah akan digunapakai. Selalunya konsep jirah in dikemukakan kerana elemen kecederaan yang dialami mangsa rogol adalah menepati elemen jirah yang ada dalam Islam. Jirah difahami sebagai kecederaan yang melukakan anggota badan. Ia terbahagi kepada dua iaitu ja’ifah dan ghair ja’ifah. Jika luka itu sampai menembusi anggota-anggota yang berongga seperti dada, perut, dubur dan rusuk maka ia termasuk di dalam kategori ja’fah. Turut termasuk di dalam kategori ini adalah faraj wanita sama ada yang masih dara ataupun tidak. Hal in sesuai dengan keadaan fizikal kemaluan wanita yang juga mempunyai rongga walaupun tidsk dinyatakan sebagai contoh anggota berongga di dalam mana-mana kitab fiqh.[37]

            Manakala bagi luka yang tidak mengenai anggota berongga seperti luka pada leher, tangan dan kaki, ia adalah dibawah kategori ghair ja’ifah. Kadar pampasan bagi ja’ifah adalah sebanyak satu pertiga diyat. Lantaran, bagi ghair ja’fah pula kadar pampasannya mengikut hukumah, iaitu mengikut budi bicara hakim.[38]

            Kadar pampasan ditentukan mengikut jenis-jenis-jenis anggota badan yang terdiri daripada anggota tunggal, anggota sepasang dan anggota yang lebih daripada dua. Seterusnya tahap-tahap kecederaan seperti luka yang membawa kepada peringkat-peringkat tertentu juga menjadi faktor kepada penentuan nilai pampasan. Pampasan bagi jenayah rogol pula dibahagi kepada tiga bahagian iaitu pampasan terhadap kecederaan utama, kecederaan sampingan dan kematian. Berikut adalah jenis-jenis pampasan untuk magsa rogol sebagaimana yang telah dibahas oleh fuqaha’ :

Kecederaan Utama

Maksud bagi keceederaan utama ialah kecederaan yang dilakukan ke atas kemaluan magsa. Kecederaan ini adalah‘kemasukan’ yang berlaku di dalam kes-kes rogol. Bagi kes ini, beberapa bentuk pampasan diperolehi oleh mangsa antaranya ialah :

i.                    Diyat

Diyat penuh akan diberikan kepada magsa rogol akibat berlaku kemasukan ke dalam kemaluannya. Ada pendapat mngatakan bahawa mangsa berhak memperoleh diyat yang sempurna tanpa mengira sama ada kemasukan itu dilakukan menggunakan zakar, jari atau alatan yang lain. Hal ini kerana perbuatan menceroboh kemaluan mangsa itu telah menghasilkan satu keadaan di mana alat-alat yang digunakan bagi tujuan tersebut telah mendatangkan kerosakan dengan cara kemasukan dan sehingga menembusi ke dalam faraj magsa.[39] Imam Syafie memberi pandangan melalui perbincangan beliau mengenai al-Jinayah ‘ala Rakibah al-Mar’ah, memberikan hak yang sama kepada mangsa untuk memperoleh diyat yang sempurna. Hal ini kerana beliau beralasan bahawa kemasukan yang dilakukan oleh perogol tidak memungkinkan qisas dilaksanakan ke atas perogol kerana ketiadaan persamaan anggota seksual dengan magsa. Oleh itu, diyat penuh perlu diberi kepada magsa sebagai ganti kepada hukuman qisas.[40]


ii.                  Arsh Dan Mahr Mithl

Selain diyat penuh, terdapat pendapat lain yang menyatakan bahawa mangsa rogol perlu diberi arsh sebanyak satu pertiga diyat. Arsh ialah pampasan bagi kecederaan yang tidak sampai jumlah pampasan satu diyat. Menurut Ibn Qudamah di dalam kitabnya, perempuan yang dipaksa berzina layak diberi satu pertiga diyat beserta mahr mithl kerana persetubuhan yang berlaku adalah tanpa hak dan tanpa izin wanita tersebut. Terdapat juga perbezaan pampasan di antara mangsa yang masih dara (al-bikr) dan juga janda (al-sayyib). Pendapat pertama menyatakan bahawa mangsa yang masih dara hanya perlu diberi mahr mithl tanpa disertai arsh bakarah iaitu satu pertiga diyat kerana arsh bakarah termasuk dalam mahr mithl. Namun begitu bagi mangsa yang bukan dara iaitu janda, mereka perlu diberi arsh bakarah kerana berdasarkan mahr mithl bagi anak dara lebih tinggi berbanding janda. Oleh itu, memadai bagi mangsa yang dara diberi pampasan mengikut mahr mithl sementara janda diberi arsh sebanyak satu pertiga diyat. Pendapat kedua pula membenarkan magsa sama ada anak dara atau janda diberi kedua-duanya.[41]


Kecederaan Sampingan

Selain daripada kecederaan berbentuk kemasukan, kecederaan kecederaan lain juga biasa ditemui pada anggota badan mangsa.  Ia termasuklah kesan yang zahirnya dapat dilihat atau sebaliknya dan juga kesan-kesan untuk jangka panjang. Bagi kecederaan lain, mangsa juga akan diberi pampasan yang setimpal dengan kecederaan yang diperolehi akibat dirogol. Kecederaan ini adalah termasuk dalam darar hakiki, ma’nawi, mali dan juga mustaqbal. Ini memberi hak kepada mangsa untuk memperoleh pampasan mengikut jenis, bentuk dan tahap anggota badannya. Ia tertakluk di bawah kategori sama ada diyat, arsh atau hukumah yang juga merupakan alternatif kepada pampasan kecederaan fizikal.

            Bagi kecederaan yang tidak tersenarai di dalam mana-mana kategori tersebut, hukuman ta’zir boleh digunakan oleh para hakim. Prinsip ini boleh digunakan bagi menentukan jumlah pampasan yang sepatutnya kepada mangsa. Seperti contoh dalam kes rogol di mana mangsanya adalah anak dara. Dalam kes seperti ini, koyakan pada selaput dara yang disebabkan elemen kemasukan oleh perogol akan menyebabkan fungsi dan manfaat anggota berkenaan hilang untuk selama-lamanya. Apabila kemasukan berlaku, secara automatiknya selaput tersebut akan mengalami koyakan dan ‘rosak’. Hal ini boleh memberi kesan psikologi yang teruk ke atas mangsa. Walaupun kehilangan selaput dara tidak tersenarai di dalam kategori diyat, arsh mahupun hukumah, namun anggota berkenaan juga merupakan anggota tunggal yang dimiliki mangsa dan tiada gantinya lagi. Ia juga merupakan ‘harta’ paling berharga yang dikaitkan dengan maruah dan kehormatan diri seseorang perempuan.

            Oleh yang demikian, dalam menentukan nilai pampasan tersebut, hakim boleh mengambil prinsip qiyas iaitu menyamakan jenis anggota terlibat, nilai pampasannya serta bentuk dan tahap kecederaan yang dialami dengan apa yang sedia ada di dalam peruntukan diyat, arsh, hukumah dan juga ta’zir.[42]

Kematian

Dalam kes rogol yang mengakibatkan kematian mangsa, keluarga atau waris mangsa berhak memperoleh pampasan sebanyak satu diyat penuh. Hal ini dapat dilihat daripada dalil-dalil yang dikemukakan sebelum ini di mana jenayah yang melibatkan nyawa, pampasannya adalah satu diyat. Akan tetapi, jika penjenayah telah dijatuhkan hukuman mati, maka pampasan tidak perlu diberikan kepada keluarga mangsa. Ini kerana diyat hanya berperanan sebagai hukuman  kepada penjenayah dimana keluarga mangsa telah memaafkan penjenayah tersebut.  Sungguhpun begitu, dalam konteks hari ini tidaklah menjadi kesalahan sekiranya keluarga mangsa diberikan pampasan di atas kematian mangsa. Sebaliknya, pampasan yang diberikan ini lebih berfungsi sebagai penawar kesedihan di kalangan ahli keluarga mangsa. Hal ini boleh diketengahkan atas dasar hukuman secara ta’zir.

Penentuan Kadar Diyat Menerusi Nilai Semasa Dinar dan Dirham

Pampasan dalam bentuk kewangan dilihat sebagai alternatif terbaik untuk membantu memulihkan keadaan mangsa rogol. Demi keadilan kepada mangsa, peruntukan pampasan dalam bentuk diyat yang menggunakan dinar (emas) atau dirham (perak) boleh dijadikan medium terbaik bagi menggantikan penggunaan unta sebagai pembayaran diyat. Selain itu, penggunaan dinar dan dirham dilihat paling sesuai memandangkan unta hanya mempunyai nilai tukaran yang praktikal di beberapa negara tertentu sahaja. Maka dengan itu, pembayaran pampasan atau diyat dengan menggunakan kedua-dua medium berkenaan adalah paling sesuai untuk diaplikasikan bebanding unta.[43]

            Oleh kerana nilai emas dan perak sentiasa berubah-ubah mengikut prubahan ekonomi dunia, maka penggunaan kedua-duanya dalam urusan diyat juga perlu dikira berdasarkan nilai semasa. Nilai semasa itu perlu dikira bermula daripada harga bagi setiap keeping dinar dan dirham yang akan digunakan. Disebabkan kedua-duanya mempunyai timbangan berat yang tetap dan tersendiri seperti yang telah ditentukan.[44]

Pihak-pihak Yang Boleh Menuntut Pampasan Dalam Kes-kes Rogol

Berdasarkan dalil-dalil yang telah dinyatakan sebelum ini, terdapat beberapa pihak yang boleh menuntut pampasan dalam kes-kes jenayah termasuk jenayah rogol. Antaranya adalah mangsa sendiri atau ahli keluarganya. Dalam kes-kes yang melibatkan mangsa yang bukan di bawah umur, mangsa boleh menuntut pampasan bagi pihaknya sendiri. Sementara dalam keadaan-keadaan tertentu, tuntutan berkenaan juga boleh dibuat sama ada oleh keluarga atau melalui peguam yang dilantik. Hal ini boleh berlaku jika keadaan diri mangsa tidak mengizinkan mereka membawa tuntutannya sendiri dan memerlukan pihak lain mewakilinya.[45]

Kesimpulan

Kesimpulannya, rogol telah memberi impak yang serius dalam psikologi dan fisiologi magsa dan juga keluarga mangsa. Rogol juga mengakibatkan kecederaan fizikal yang serius seperti kehamilan dan penyakit sebaran seksual. Golongan wanita akan merasa takut ketika berjalan kaki sendiri dimana-mana tempat. Oleh itu hukuman-hukuman dan undang-undang yang berat mesti dilaksanakan terhadap perogol supaya dapat menghukum perogol yang memberi impak yang serius kepada mangsa. Hukuman mati boleh dilaksanakan kepada perogol untuk memberi amaran kepada masyarakat supaya dapat mengurangkan kes rogol di negara ini.

            Selain itu, jenayah rogol amat menakutkan. Ia menjadi musuh kepada kaum wanita khususnya kanak-kanak yang mudah menjadi sasaran penjenayah. Pendekatan atau mekanisme yang dirancang bagi menangani kes rogol ini perlu berbentuk holistic dan mengambil kira kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan. Disamping itu, kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu menjadi pemimpin kepada kajian mengenai faktor penyebab rogol di semua peringkat. Institusi kekeluargaan mesti diperkukuhkan dengan nilai-nilai yang menjadikan hormat dan kawalan diri sebagai focus ke arah pembentukan masyarakat penyayang.



Rujukan

Al-Quran

Alina Rastam, The Rape Report : An Overview of Rape in Malaysia, All Women’s Action Society (AWAM).

Al-Kasani, Al-Bada’I al-Sana’i, Matbaah al-Jamaliyya, Cairo, 1910.

Al- Namir Izat, Muhammad, Jara’im al-Ird Qanun al-Uqabat al-Misri, Dar al- Arabia lil Mausu’at, Kaherah, 1984.

Al-Suyuti, Al-Ashbah wa Al-Nazair, Dar al-Kitab al-Arabi, 1987.

Al-Zuhaili, Wahbah, Al-Fiqh al-Islami wa Adilatuhu, Dar al-Fikr, Syria, 1985.

Dr. Nik Rahim Nik Wajis, Jenayah Rogol Di Dalam Undang- Undang Islam.

Imber, Colin, Zina in Ottoman Law, Paris.





[1] Al- Namir Izat, Muhammad, Jara’im al-Ird Qanun al-Uqabat al-Misri, Dar al- Arabia lil Mausu’at, Kaherah, 1984, hal. 249.
[2] Dr. Nik Rahim Nik Wajis, Jenayah Rogol Di Dalam Undang- Undang Islam, hal. 73.
[3] Imber, Colin, Zina in Ottoman Law, Paris hal. 60.
[4] Al-Suyuti, Al-Ashbah wa Al-Nazair, Dar al-Kitab al-Arabi, 1987, hal. 458.
[5] Al-Kasani, Al-Bada’I al-Sana’i, Matbaah al-Jamaliyya, Cairo, 1910, vol 7, hal.33.
[6] ‘Awdah, Abdul Qadir, Al-Tashri Al-Jinai al-Islami, Dar al-Turath, Cairo, Vol. 2, hal. 353.
[7] Sabiq, Syed, Fiqh al-Sunnah, Dar al-Turath, Cairo, Vol. 2, hal 362.
[8] Al-Zuhaili, Wahbah, Al-Fiqh al-Islami wa Adilatuhu, Dar al-Fikr, Syria, 1985, 1985, Vol. 6, hal. 66.
[9] Al-Zuhaili, Wahbah, Al-Fiqh al-Islami wa Adilatuhu, Dar al-Fikr, Syria, 1985, 1985, Vol. 6, hal. 38.
[10] Al-Ramli, Shamsudin, Nihayat al-Muhtaj, Matbaah Mustafa al-Halabi, Cairo, 1938, Vol. 7, hal. 402.
[11] Al- Namir Izat, Muhammad, Jara’im al-Ird Qanun al-Uqabat al-Misri, Dar al- Arabia lil Mausu’at, Kaherah, 1984, hal. 253.
[12] Dr. Nik Rahim Nik Wajis, Jenayah Rogol Di Dalam Undang- Undang Islam, hal. 75.
[13] Nik Rahim Nik Wajis, “The Crime of Hirabah in Islamic Law”, Glasgow Caledonian University, 1996, hal.178.
[14] Al- Namir Izat, Muhammad, Jara’im al-Ird Qanun al-Uqabat al-Misri, Dar al- Arabia lil Mausu’at, Kaherah, 1984, hal. 259.
[15] Al-Ashbah wa al-Naza’ir, hal.460.
[16] Muslim, Abu Hussain Al-Nisbari, Sahih Muslim, Cairo, 1334, A.H.
[17] Pustaka al-Ehsan, Al-Quran dan terjemahan, 2012, hal. 80.
[18] Zaizul Ab. Rahman, Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Pemacu Transformasi Negara, Fenomena Rogol Menurut Pandangan Ulama Islam, UKM, 2011, hal. 476.
[19] Ibn Qayyim, Shamsudin, Turuq al-Hikmiyyah fi al-Siyasah al-Syari’yyah, 1995.
[20] Mustafa al-Zarqa’, Al-Madkhal al-Fiqh al-Amm, j. 2 1904 M.
[21] Abdul Karim Zaidin, Nizam al-Qadha’ fi Syariah al-Islamiyyah, 1958.
[22] Nasimah Hussin, Undang-undang Islam : Jenayah, Keterangan dan Prosedur, j. 13, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka 2007.
[23]  Dr. Nik Rahim Nik Wajis, Jenayah Rogol Di Dalam Undang- Undang Islam, hal. 77.
[24] Sekyen 375 Kanun Keseksaan (Akta 574), sehingga 25 Januari 2008.
[25] Ahmad Zulkarnain Musa, Rape : A Comparative Study, 2002, hal. 148.
[26] Alina Rastam, The Rape Report : An Overview of Rape in Malaysia, All Women’s Action Society (AWAM), hal. 74.
[27] Seksyen 354 Kanun Keseksaan (Akta 574)
[28] Rohana Ariffin, Shame, Secrecy and Silence : Study of Rape in Penang, Women Crisis Centre, hal. 80.
[29] Alina Rastam, The Rape Report : An Overview of Rape in Malaysia, All Women’s Action Society (AWAM), hal. 74.
[30] Peruntukan seksyen 375A Kanun Keseksaan (Akta 574).
[31] Rozilawati Binti Mat Yacob, Pampasan Kepada Mangsa Rogol Di Malaysia Menurut Perspektif Syariah, 2010, hal. 29.
[32] Siti Zubaidah Ismail, Kecuaian dan Pampasan Terhadap Kecederaan Fizikal Menurut Undang-Undang, Kuala Lumpur, hal. 31.
[33] Siti Zubaidah Ismail, Kecuaian dan Pampasan Terhadap Kecederaan Fizikal Menurut Undang-Undang, Kuala Lumpur, hal. 33.
[34] Siti Zubaidah Ismail, Kecuaian dan Pampasan Terhadap Kecederaan Fizikal Menurut Undang-Undang, Kuala Lumpur, hal. 33.
[35] Abd. Aziz Hussin, Udang-undang Kesalahan Terhadap Diri : Aspek-aspek Yang Terpilih. Cet. 1, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, hal. 46.
[36] Siti Zubaidah Ismail, Kecuaian dan Pampasan Terhadap Kecederaan Fizikal Menurut Undang-Undang, Kuala Lumpur, hal. 172-183.
[37] Ibn Qudamah, Abu Abdullah Ibn Ahmad ibn Muhammad (1999), Al-Mughni, juz 12, Dar’Alam al-Kutub, hal. 169.
[38] Siti Zubaidah Ismail, Kecuaian dan Pampasan Terhadap Kecederaan Fizikal Menurut Undang-Undang, Kuala Lumpur, hal. 191.
[39] Al- Nawawi, Abu Zakaria Yahya Ibn Sharif (t.t), Rawdat al-Talibin, juz. 7, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, hal. 120.
[40] Al-Syafie, Abu Abdullah Muhammad Ibn Idris (1993), Al-Umum, juz. 6, Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 120.
[41] Ibn Qudamah, Abu Abdullah Ibn Ahmad ibn Muhammad (1999), Al-Mughni, juz 12, Dar’Alam al-Kutub, hal. 171-172.
[42] Rozilawati Binti Mat Yacob, Pampasan Kepada Mangsa Rogol Di Malaysia Menurut Perspektif Syariah, 2010, hal. 124.
[43] Rozilawati Binti Mat Yacob, Pampasan Kepada Mangsa Rogol Di Malaysia Menurut Perspektif Syariah, 2010, hal. 129.
[44] Siti Zubaidah Ismail, Kecuaian dan Pampasan Terhadap Kecederaan Fizikal Menurut Undang-Undang, Kuala Lumpur, hal. 177-179.
[45] Siti Zubaidah Ismail, Kecuaian dan Pampasan Terhadap Kecederaan Fizikal Menurut Undang-Undang, Kuala Lumpur, hal. 177-179.

3 comments:

  1. A Guide to Poker - FEBCASINO
    Find the best online poker rooms. Play the 1xbet korean best real money poker games online. Find the best online poker tournaments anywhere.‎Poker Tournaments mp3 juice · ‎Poker Tournaments · ‎Promotions 바카라

    ReplyDelete
  2. The best online casinos that offer real money gambling
    Most of these online casinos offer you some kind of deposit bonus, but there are also some that allow you to gamble luckyclub.live with a real money gambling site. These

    ReplyDelete
  3. CASINO IN COB - KEMSY-TUB-BET CASINO
    CASINO IN 김천 출장안마 COB - CASINO IN COB - CASINO IN COB - JSTOR. 1-15-17, CO 서울특별 출장안마 (COVID-19) · CASINO IN COB - CASINO IN 양주 출장샵 COB 남원 출장안마 - CASINO IN 김제 출장마사지 COB - CASINO IN COB

    ReplyDelete